Jika kita menolak menyamakan Allah dengan Kera, sudah tentu kita akan menolak mentafsirankan Istiwa sebagai duduk |
Namun begitu, saya rasa ada salah faham yang besar berlaku terhadap kenyataan mufti Kedah tersebut yang mungkin telah disalah anggap oleh Dr. Asri sehingga beliau mencabar agar Mufti Kedah memberikan bukti kebenaran segalan tuduhannya terhadap Dr. Asri.
Bab duduk macam kera
Dr. Asri nampaknya memahami bahawa Mufti Kedah telah menuduh beliau ada menyamakan Allah dengan Kera dalam bab duduk atau lebih tepat lagi Istiwak. Sedangkan setelah diulang tengok video kenyataan Mufti Kedah, saya tidak nampak bahawa Mufti Kedah menuduh Dr. Asri menyamakan Allah dengan Kera!.
Apa yang dibahaskan oleh Tuan Mufti Kedah adalah berkenaan masalah mentakwilkan makna Istiwak yang ada di dalam Al-Quran. Ada dua penafsiran berkenaan perkataan tersebut. Satu penafsiran mengambil pendekatan fahaman Al-Ashari yang mentakwilkan perkataan Istiwak sebagai menguasai atau memerintah. Inilah fahaman yang popular yang kebanyakannya di pegang oleh ulamak Tua di negara kita dan juga ulama-ulama berfahaman lama di seluruh dunia.
Dalam memberikan hujahnya, Mufti Kedah memberikan perumpamaan, duduk yang bagaimana, di maksudkan. Beliau memberikan hujah yang keras bagi menolak perkataan Istiwak itu adalah duduk, kerana jika diterjemahkan secara terus kepada duduk akan berlakulah persamaan duduk seperti mana manusia duduk atas kerusi, atau kera duduk atas tiang.
Dengan gambaran yang Mufti Kedah berikan itu, semua orang boleh faham, adalah tidak logik sama sekali untuk menterjemahkan Istiwak sebagai duduk yang sebegitu. Tidak timbul bahawa beliau menuduh Wahabi menyamakan Allah dengan kera. Sebaliknya beliau hanya menolak dengan keras jika Istiwak diterjemahkan sebagai duduk, itu sahaja.
Mentakwil makna ayat Mutashabihat
Sebagaimana bab istiwak, begitulah juga dalam ayat lain yang menyentuh perkataan Al-Yad. Bagi ulama Tua seperti Mufti Kedah, mereka serasi dengan mentakwilkan perkataan-perkataan sebegitu sebagai Kuasa dan bukannya makna terus atau zahir ayat. Orang akan mudah faham dan akan menolak pemahaman tafsiran secara zahir bila diberikan penjelasan sepeti memegang najis atau duduk macam Kera.
Satu lagi pemahaman berkenaan ayat-ayat sebegitu yang juga amat popular dikalangan ulama muda yang dipelopori oleh golongan Wahabi adalah menerima perkataan dan ayat itu seadanya tanpa sebarang takwil. Sheikh Muhammad Bin Abdul Wahab yang merupakan pelopor fahaman Wahabi mengambil pendekatan itu kerana beliau adalah anak kepada seorang ayah yang merupakan ulama besar dalam mazhab Hambali.
Memang Imam Ahmad Bin Hambal terkenal dengan tidak mentakwil ayat berkenaan Istiwak atau Al-Yad dan seumpamanya. Pendekatannya adalah menerima sebijik ayat atau perkataan itu dan bagaimana sebenarnya yang dimaksudkan, diserahkannya pada Allah. Itulah fahaman yang popular yang digunapakai oleh ulama muda dan Wahabi yang menolak takwil.
Namun begitu, malangnya dalam mereka menolak takwil, ramai yang menterjemahkan perkataan Istiwak umpamanya sebagai duduk. Disitulah timbul masalah kerana jika mahu menerima ayat sebagaimana yang disebut dalam Al-Quran, kenapa tidak disebut saja Istiwak atau Al-Yad dan dikekalkan begitu dengan menyatakan, apa maknanya, hanya Allah saja yang mengetahui. Ini kerana itu Al-Quran adalah dalam bahasa Arab dan bukannya dalam bahasa lain.
Sebaik sahaja diterjemahkan ke dalam bahasa melayu atau bahasa lain menjadi, duduk, bukankah kita telah membuat tafsiran salah yang berkemungkinan tidak sama sebagaimana di dalam bahasa Arab?, duduk dalam bahasa Melayu tidak luas maknanya sedangkan di dalam bahasa Arab Istiwak itu luas maknanya. Begitu juga dengan ayat seperti di langit mempunyai makna lain selain dari makna zahirnya. Maka jalan terbaik adalah dengan mengekalkan semua perkataan tersebut dalam bahasa Arab tanpa takwil atau tafsir.
Tetapi timbul pula masalah pemahaman bagi orang ajam seperti saya bila keluar perkataan Istiwak atau Al-Yad dinisbahkan kepada Allah, tentu saya mahu memahami maksud ayat itu. Jesteru itu orang seperti Mufti Kedah akan berkata bahawa ianya bermaksud menguasai Arash (dalam bab Istiwak)...sudah tentu saya berpuas hati dan paham. Itulah yang diketengahkan oleh Mufti Kedah.
Solat tarawih lebih 8 rakaat masuk neraka
Dalam bab solat tarawih melebihi lapan rakaat pula, saya faham maksud yang mahu disampaikan oleh Tuan Mufti Kedah. Jika anda pernah mengikuti ceramah atau kuliah atau pernah berbual dengan pejuang fahaman Wahabi anda tentu sering mendengar ulangan maksud hadith dari mulut mereka yang lebih kurang maksudnya, menambah dalam beribadah itu adalah bid'ah dan membuat bid;ah itu balasannya adalah akan dihumban ke api neraka.
Ayat tersebut sering diulang oleh mereka setiap kali membicarakan berkenaan amalan golongan tua seperti solat tarawih 20 rakaat, bacaan Yaasin di malam jumaat, solah sunat sebelum jumaat, amalan talkin, tahlil dan lain-lain lagi seumpamanya.
Namun begitu mereka agak licik juga kerana akan menghabiskan segala cerita amalan-amalan itu sebagai bid'ah lalu terus diberikan maksud hadith di atas tadi tanpa memberikan hukum yang jelas berkenaan amalan-amalan tersebut. Sudah tentu anda akan ambil faham bahawa jika anda jadikan amalan Yaasin di malam jumaat, solat sunat sebelum Jumaat atau tahlil atau talkin atau solat tarawih lebih 8 rakaat sebagai amalan bida'ah...dan siapa yang buat akan dihumban masuk neraka.
Setakat itu dulu ulasan singkat. Sekadar perkongsian dari saya seorang orang awam yang menganut agama Islam yang sewajibnya memahami bab asas sebegitu kerana ianya melibatkan akidah dan menentukan selamat atau tidak di hari kemudian nanti. Apa pendapat anda pula.....? kongsikan saja di bawah...TK